Jurnal 2 : Pilihan

Leave a Comment
Pendahuluan:

"Alhamdulillah, atas kesempatan dan waktu yang diberikan oleh Allah untuk menulis sedikit catatan agar dapat memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada sahabat handai serta pembaca umumnya. 

Mungkin tajuk di atas kelihatan "selective" terhadap medan pembaca, tetapi initipati sebenar di dalam nukilan artikel ini lebih bersifat umum dan terbuka. Penulisan ini juga adalah penulisan bersifat formal tidak seperti kebanyakan artikel blogger lainnya yang menggunakan penulisan tidak formal dan "sempoi". 

Namun, penulisan ini lebih bersifat inspirasi dan motivasi seperti penulisan dari seorang penulis istimewa, Nick Vujicic. Mungkin penulisan ini tidak sehebat beliau, tetapi mudah-mudahan penulisan ini mampu memberikan sedikit sumber inspirasi kepada pembaca"

Jurnal 2:

10 Januari 2013



"argh!!! bosan! badai! lemau!, bila nak dapat kerja ni???"

Setiap graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti pastinya mengalami situasi mencari kerja di merata negeri dan syarikat . Sememangnya mencari kerja adalah satu cabaran lebih-lebih lagi dalam abad yang penuh mencabar hari ini. Ditambah pula keadaan ekonomi yang tidak berapa stabil, syarikat memiliki permintaan tinggi, kekurangan tempat di sektor swasta mahupun kerajaan dan sebagainya.

Suka untuk saya kongsikan pengalaman saya setelah bergraduat di universiti beberapa tahun yang lalu. Setelah selesai pengajian di universiti saya telah menganggur dalam 4 bulan. Sejujurnya, dalam tempoh 4 bulan menganggur sememangnya membuatkan saya tidak selesa apatah lagi jika menganggur bertahun-tahun lamanya.

Setelah 4 bulan menganggur, di samping menghantar resume di serata syarikat, akhirnya panggilan kerja di terima sebagai Pegawai Sains di institut Teknologi Maju, Universiti Putra Malaysia. Saya tidak mahu mengambil masa untuk menceritakan bagaimana saya mendapatkan kerja atau pengalaman temu duga. Sebab bukan itu tujuan sebenar penulisan artikel ini, mungkin di bahagian travelog lain saya akan berkongsi.

Gaji? ketika itu sangat lumayan. Sebagai graduan yang baru menamatkan pengajian, gaji RM 3000 sebulan sudah tentu sangat besar apatah lagi masih bujang. Namun, pekerjaan sebagai pegawai sains bukanlah pilihan di hati dan tidak selari dengan minat serta kehendak. Akibat keadaan semasa yang mendesak, saya teruskan juga bekerja sebagai pegawai sains.

Di dalam tempoh 3 bulan bekerja sebagai pegawai sains, peluang lain pula datang kepada saya. Tawaran menjadi guru di sekolah dan tawaran menyambung pelajaran di UPM. Kedua-dua tawaran ini sememangnya sangat selari dengan kehendak serta minat yang telah saya simpan. 

Maka, ketika itu hati saya mula bergolak untuk membuat pilihan yang tepat, sama ada meneruskan kerja sebagai pegawai sains, sambung belajar ataupun terima tawaran sebagai seorang guru.

Setiap daripada pilihan tersebut memiliki pro dan kontra masing-masing. Maka, saat untuk membuat pilihan perlu dilakukan. Pernah dalam satu keadaan saya tidak dapat membuat sebarang keputusan disebabkan kelebihan dan peluang yang ada dalam ketiga-tiga pilihan tersebut. Akhirnya, saya mula berjumpa dengan rakan-rakan, senior, pensyarah dan ibu serta ayah untuk membuat pilihan.

Saya pernah meminta pendapat daripada seorang senior di fakulti sains yang saya kenali sebagai "Kak fatanah deraman" berkenaan dengan menyambung pelajaran di peringkat master. Kekhuatiran saya ketika itu adalah duit dan tidak yakin. 

Bayangkan jika saya menyambung pelajaran, saya perlu melepaskan kerjaya sebagai pegawai sains dan melupakan hasrat untuk menjadi seorang guru. Bahkan, setelah berhenti kerja sudah pastinya tidak ada duit yang mencukupi bagi meneruskan pelajaran.

"Duit?? jangan risau, asalkan niat kita sambung belajar kerana Allah, duit akan datang selepas itu. Cabaran dan masalah yang akan datang, "face" ja", Kata kak fatanah ketika terserempak di pusat penyelidikan matematik UPM. Saya menyimpan kata-kata tersebut dan mencari pendapat-pendapat yang lain untuk membuat pilihan. 

Kerisauan saya masih ada kerana mengkhuatiri tidak mampu berhadapan dengan penulisan saintifik yang berbahasa inggeris. Bahkan pula, perlu berhadapan dengan cabaran yang tidak menentu ketika menyambung pelajaran.

Saya juga mengambil pendapat sebahagian daripada saudara mara yang menggalakkan saya untuk menjadi seorang guru. "Jadi je cikgu dulu, sekarang ni cikgu senang nak sambung belajar, selepas sah jawatan ambil cuti bergaji penuh dan biasiswa untuk sambung belajar.". Saya juga menyimpan kata-kata tersebut dalam membuat pilihan. Sejujurnya, kata-kata sedemikian amat meyakinkan saya untuk meneruskan hasrat menjadi seorang guru.

Ketika di pejabat, saya berjumpa dengan rakan-rakan di sana untuk meminta pandangan serta pendapat. "Sekarang ni Clean Room pertama di UPM sedang dibangunkan. Kau adalah satu-satunya pegawai yang akan jaga Clean Room pertama di UPM . Peluang kau sangat cerah kalau terus jadi pegawai sains". Jika diikutkan, sememangnya saya berasakan itu adalah peluang yang sangat besar, ketika itu saya berasa bertambah berat untuk melepaskan jawatan sebagai pegawai sains.

Keliru? tidak menentu? sukar memilih? sememangnya itu adalah dilema yang dihadapi oleh saya. 

Setelah puas mencari pandangan dan pendapat, akhirnya ada satu lagi tempat yang saya belum meminta pendapat serta pandangan. Iaitu ibu dan ayah saya. Satu hari saya mengambil cuti dan pulang ke kampung halaman di Melaka. Saya duduk bersama ibu saya di meja makan dan bertanya "Mak, sekarang lan perlu buat pilihan, terus kerja sebagai pegawai sains, terima tawaran jadi guru atau sambung belajar, dan lan nak minta pandangan dari mak dan abah", sejujurnya ketika itu hati saya kuat untuk menjadi guru. Pilihan sambung belajar ketika tidak begitu kuat serta bekerja sebagai pegawai sains semakin tawar.

"Mak dan abah kalau boleh nak lan sambung belajar, tapi kami tidak memaksa", saya terdiam dan terkelu. Saya mengambil masa yang lama untuk membuat pilihan. Pilihan untuk menyambung pelajaran sudah tentu memberi risiko yang sangat besar. 

Ketika itu saya sudah ada perancangan untuk berkahwin, memiliki rumah, serta membina kehidupan sendiri. Jika saya memilih untuk sambung pelajaran, maka saya perlu melupakan hasrat untuk berkahwin, memiliki rumah serta membina keluarga sendiri. Ditambah pula, saya berasa kurang yakin untuk meneruskan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Jika tidak berjaya menghabiskan pelajaran, maka saya telah merugikan masa, tenaga serta duit. 

Sukar? sememangnya sukar! Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu. Setelah seberapa lama ketika, maka saya telah membuat keputusan untuk setuju dengan pandangan kedua ibu dan ayah saya. Ketika itu saya tanamkan keyakinan di dalam hati saya,

"Jika hari ini aku penuhi hasrat ibu dan ayah ku, maka mereka akan gembira dan redha. Maka aku yakin, redha Allah akan bersamaku. Tidak yakin? Kemudahan itu pasti akan datang selagi mana mereka redha dan Allah redha. Duit? aku yakin jika niat ini baik, Dia maha pemurah untuk beri aku rezeki. Tangguh untuk berkeluarga sendiri? Masa berkeluarga itu akan berkunjung, dan pasti lebih membahagiakan setelah itu"

Saya tanamkan keyakinan ini sedalam-dalam yang mungkin, Sememangnya sangat sukar untuk membuat pilihan sedemikian. Maka akhirnya, saya menghantar surat berhenti kerja dan menolak tawaran sebagai seorang guru demi menyambung pelajar di peringkat master.



Setelah menyambung pelajaran di dalam keadaan tiada gaji dan tidak berduit, saya rasa terkejut  kerana saya mendapat elaun yang ditawarkan dari pensyarah saya dalam keadaan tidak disangka-sangka. Elaun itu cukup untuk memenuhi keperluan saya sebelum mendapat biasiswa universiti pada akhir tahun 2013. Benar kata kak fatanah, 

"Duit?? jangan risau, asalkan niat kita sambung belajar kerana Allah, duit akan datang selepas itu. Cabaran dan masalah yang akan datang, "face" ja"

Semasa menyambung pelajaran saya juga mengalami tempoh kesedihan, kesusahan serta kepayahan. Namun, semua itu dapat di atasi dengan baik atas pertolongan dari Allah swt. Akhirnya saya bertambah sedar, redha Allah itu adalah keutamaan dalam memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat.

Setelah membuat pilihan sudah tentu Allah akan uji sejauh mana keteguhan dan kekuatan hati kita. Sedang menyambung pelajaran, saya mendapat tawaran untuk menjadi pensyarah asasi di Uniten serta USIM. Namun, saya menolak bulat-bulat tawaran tersebut dengan hati yang berat. Ini adalah jalan yang telah dipilih, maka tidak boleh berpatah balik ke belakang!

Ini adalah cerita saya dan pilihan saya, mungkin rakan-rakan lain ada cerita yang berbeza. Apa yang ingin saya sampaikan di sini, buat lah pilihan macam mana sekalipun, namun dahulukan redha Allah dan luruskan niat dalam membuat pilihan semata-mata kerana Allah swt. Juga, tetapkan hati untuk meneruskan pilihan itu dan jangan sesekali berpatah balik ke belakang.

Tamat

Hasil Nukilan:

Azlan Wildan

Nota : "Segala penulisan ini bukan bererti saya telah memiliki sepenuhnya apa yang tertulis di atas, sesungguhnya masih banyak lagi kekurangan yang ada pada diri saya. Saya dan anda, kita adalah sama. Jika kita menulis setelah kesempurnaan dicapai, maka tiada siapa yang akan menulis buat selamanya."

Read More

Jurnal 1 : Bergraduat

Leave a Comment
Assalamualaim wbt

Pendahuluan:


"Setelah lama tidak menulis blog akibat kesibukan yang menggari panca indra, akhirnya Allah beri kesempatan dan waktu untuk menulis sedikit catatan agar dapat memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada sahabat handai serta pembaca umumnya. 

Mungkin tajuk di atas kelihatan "selective" terhadap medan pembaca, tetapi initipati sebenar di dalam nukilan artikel ini lebih bersifat umum dan terbuka. Penulisan ini juga adalah penulisan bersifat sedikit formal dan sedikit "sempoi" tidak seperti kebanyakan artikel blogger lainnya yang menggunakan penulisan tidak formal dan "sempoi". 

Namun, penulisan ini lebih bersifat inspirasi dan motivasi seperti penulisan dari seorang penulis istimewa, Nick Vujicic. Mungkin penulisan ini tidak sehebat beliau, tetapi mudah-mudahan penulisan ini mampu memberikan sedikit sumber inspirasi kepada pembaca"

Jurnal 1 :

15 oktober 2012

Iklan :

Tag : Tarikh ini adalah tarikh yang sangat bersejarah terutamanya kepada pelajar universiti yang akan bergraduat. Selama 4 tahun memerah tenaga dan otak untuk menghabiskan pengajian di universiti demi mendapatkan sekeping kertas yang dipanggil sebagai "ijazah sarjana muda".

Nama saya Azlan, atau lebih dikenali sebagai Azlan Wildan. Perkataan Wildan tidak wujud pun dalam nama penuh saya, tetapi kenapa perlu letak Wildan? Sebab suatu ketika dahulu ada seorang sahabat saya telah beritakan bahawa perkataan "wildan" adalah bermaksud "pemuda syurga" . Siapa tidak mahu ke syurga bukan? sebab itu saya mengharapkan panggilan wildan itu dijadikan sebagai doa agar suatu masa nanti saya dapat menjadi salah satu dalam kalangan pemuda di syurga nanti. Amin.


Tag : Lumrah sebagai pelajar universiti di hari bergraduat untuk bergambar dan "selfie" untuk tatapan di masa tua suatu hari nanti. (tak percaya? tengok masa hang bergraduat nanti. Penuh gambar hang selfie dalam facebook)

Melihat pada gambar di atas, "Wah, bagusnya dah berjaya habiskan pengajian di universiti, mesti kacak orangnya, gitew" ----> mungkin ini adalah kata-kata kebanyakan orang yang melihat kejayaan orang lain (kacak ke?? helo...) Tidak kurang juga, "Eleh, nak menunjuk lah tu, ingat dia sorang je ke masuk universiti" -----> mungkin juga ada yang berkata sedemikian (alah, biasalah, ayat dengki ler tu).

Secara hakikinya, itu bukanlah perbincangan utama. Intipati utama yang ingin ditekankan hari ini "Macam mana nak dapat segulung ijazah  dan menjadi mahasiswa yang berkualiti!!" (err, CGPA hang berapa?). Sememangnya impian setiap ibu bapa tidak kira tinggi atau rendah pendapatannya, semestinya menginginkan anak mereka mendapatkan segulung ijazah (siapa tidak mahu bukan?). Namun, adakah semata-mata memperoleh ijazah itu telah menunjukkan anak anda telah berhak dipanggil sebagai orang yang berjaya? (dah tu, macam mana pulak??)


Ketika selesai pengajian di universiti ada seorang pakcik pernah beritahu kepada saya, "Pakcik sekarang kerja sebagai pengurus di sebuah syarikat ternama, banyak kali menemu duga calon-calon lepasan universiti" (err, abis tu dah kenapa?

Terus pakcik itu lagi, "Calon lepasan universiti hari ini tidak berkualiti, masuk universiti hanya belajar pakai buku, lepas habis belajar campak buku, ilmu entah kemana, skill tiada, langsung tidak boleh apply, soft skill tak payah cakaplah" (sennntaaapppp, T_T)

Namun begitu, bukan pakcik itu seorang sahaja yang berkata demikian. Malah, ada juga sebilangan masyarakat memiliki persepsi yang sama. Definisi mahasiswa yang berkualiti mungkin berbeza mengikut sisi pandangan tertentu. Pada hemat saya, mahasiswa yang berkualiti itu tidak terletak pada sijil-sijil aktiviti yang bertingkat dan CGPA 4.00 setiap semester. (Habis tu?????!! terletak pada mana plak ni??)


Mungkin sahaja sijil-sijil yang banyak itu hanya sekadar beraktiviti seperti melepaskan batuk di tangga dan akhirnya tuntut sijil dari pihak universiti (eh, macam pernah buat je??). Atau CGPA 4.00 itu hasil dari penipuan semasa peperiksaan, "copy paste" assignment dan sebagainya (tak baik cakap macam tu, baik sangka la sket).

Sepandai mana pun seorang mahasiswa itu, sejauh mana pun mahasiswa itu beraktivisme, jika tiada nilai dalaman yang cemerlang (disiplin, akhlak, rohani, kesedaran diri, berdikari bla3x....) akhirnya mereka akan jadi mahasiswa lesu! Cikgu saya ketika dahulu pernah berkata kepada saya, "suatu hari nanti, awak jangan belajar je pandai, tetapi akhirnya jadi perasuah, bina menara, menara runtuh, mencuri duit syarikat" (muhasabah lah sket!).


Namun, bagaimana untuk kita mengetahui sejauh mana tahap kecemerlangan nilai dalaman yang ada dalam diri kita? (Ala, kat facebook ada buat soalan survey "kenali diri anda", jawab je la tu.....

Maka lihatlah cara kita memikul amanah, kesungguhan melaksanakan tugas, kesanggupan untuk bersusah dahulu, di mana masa dihabiskan, bagaimana hubungan dengan Allah dan ibu bapa, sejauhmana adab kita berkata-kata, sekuat mana kita bertanggungjawab terhadap kesilapan, kesanggupan berhadapan dengan masalah dan sebagainya. (wow, macam susah je?) . Maka inilah sebenarnya kayu ukur yang saya gunakan untuk menilai diri kita sebenarnya adalah dalam  kalangan mahasiswa berkualiti atau tidak.

CGPA dan sijil yang banyak hanyalah kelebihan semata-mata dan tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur terhadap kualiti seorang mahasiswa. Namun, memperolehi nilai dalaman yang cemerlang bukanlah datang dari bakat semula jadi, bahkan boleh dibina secara perlahan-lahan (hah, macam mana nak bina? kena masuk Gym ke?). Perkara ini boleh dipupuk sekiranya kita mendapatkan sumber motivasi secara berkala dan berterusan (alamak, setiap minggu kena pergi kursus Dr azizan ler ni).

Salah satu sumber motivasi yang boleh mendidik nilai kecemerlangan diri adalah Usrah (hah, ape tu? hah??). Saya tidak mengatakan usrah itu adalah "ultimate" kaedah untuk memperolehi sumber motivasi. (tak fahamlah usrah tu apa???)


Tag : Jika anda tidak faham apa itu usrah, amat disarankan untuk membeli buku ini (macam best je?, saya pun tak baca lagi, hehehe)

Sumber ini juga boleh diperolehi dengan persekitaran yang meingkatkan kesedaran diri dan memupuk nilai kesedaran. Sebagai contoh, jika kita menetap di tempat yang dipenuhi pesta, tari menari, clubbing dan sebagainya dalam tempoh yang sangat lama, sudah tentunya hati kita akan mulai dididik untuk suka kepada hiburan. Begitu juga jika kita tinggal di kawasan yang dipenuhi oleh orang yang rajin bekerja, rajin menjaga ibadat, bertanggungjawab dalam memikul amanah, maka akhirnya jiwa kita akan dibentuk menjadi seperti mereka.

Maka pembaca sekalian, kita perlu sentiasa ingat dan faham, belajar dan beraktiviti semata-mata tidak menjadikan kita sebagai mahasiswa yang berkualiti. Tetapi, berusaha untuk mendapatkan sumber motivasi agar menjadi orang yang cemerlang jati diri adalah perkara utama untuk menjadikan diri kita sebagai mahasiswa berkualiti. Mahasiswa berkualiti itu mampu melahirkan keharmonian dalam masyarakat, manakala mahasiswa tidak berkualiti itu menzahirkan kedangkalan dirinya sendiri.



Read More
Powered by Blogger.