Jurnal 2 : Pilihan

Leave a Comment
Pin It
Pendahuluan:

"Alhamdulillah, atas kesempatan dan waktu yang diberikan oleh Allah untuk menulis sedikit catatan agar dapat memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada sahabat handai serta pembaca umumnya. 

Mungkin tajuk di atas kelihatan "selective" terhadap medan pembaca, tetapi initipati sebenar di dalam nukilan artikel ini lebih bersifat umum dan terbuka. Penulisan ini juga adalah penulisan bersifat formal tidak seperti kebanyakan artikel blogger lainnya yang menggunakan penulisan tidak formal dan "sempoi". 

Namun, penulisan ini lebih bersifat inspirasi dan motivasi seperti penulisan dari seorang penulis istimewa, Nick Vujicic. Mungkin penulisan ini tidak sehebat beliau, tetapi mudah-mudahan penulisan ini mampu memberikan sedikit sumber inspirasi kepada pembaca"

Jurnal 2:

10 Januari 2013



"argh!!! bosan! badai! lemau!, bila nak dapat kerja ni???"

Setiap graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti pastinya mengalami situasi mencari kerja di merata negeri dan syarikat . Sememangnya mencari kerja adalah satu cabaran lebih-lebih lagi dalam abad yang penuh mencabar hari ini. Ditambah pula keadaan ekonomi yang tidak berapa stabil, syarikat memiliki permintaan tinggi, kekurangan tempat di sektor swasta mahupun kerajaan dan sebagainya.

Suka untuk saya kongsikan pengalaman saya setelah bergraduat di universiti beberapa tahun yang lalu. Setelah selesai pengajian di universiti saya telah menganggur dalam 4 bulan. Sejujurnya, dalam tempoh 4 bulan menganggur sememangnya membuatkan saya tidak selesa apatah lagi jika menganggur bertahun-tahun lamanya.

Setelah 4 bulan menganggur, di samping menghantar resume di serata syarikat, akhirnya panggilan kerja di terima sebagai Pegawai Sains di institut Teknologi Maju, Universiti Putra Malaysia. Saya tidak mahu mengambil masa untuk menceritakan bagaimana saya mendapatkan kerja atau pengalaman temu duga. Sebab bukan itu tujuan sebenar penulisan artikel ini, mungkin di bahagian travelog lain saya akan berkongsi.

Gaji? ketika itu sangat lumayan. Sebagai graduan yang baru menamatkan pengajian, gaji RM 3000 sebulan sudah tentu sangat besar apatah lagi masih bujang. Namun, pekerjaan sebagai pegawai sains bukanlah pilihan di hati dan tidak selari dengan minat serta kehendak. Akibat keadaan semasa yang mendesak, saya teruskan juga bekerja sebagai pegawai sains.

Di dalam tempoh 3 bulan bekerja sebagai pegawai sains, peluang lain pula datang kepada saya. Tawaran menjadi guru di sekolah dan tawaran menyambung pelajaran di UPM. Kedua-dua tawaran ini sememangnya sangat selari dengan kehendak serta minat yang telah saya simpan. 

Maka, ketika itu hati saya mula bergolak untuk membuat pilihan yang tepat, sama ada meneruskan kerja sebagai pegawai sains, sambung belajar ataupun terima tawaran sebagai seorang guru.

Setiap daripada pilihan tersebut memiliki pro dan kontra masing-masing. Maka, saat untuk membuat pilihan perlu dilakukan. Pernah dalam satu keadaan saya tidak dapat membuat sebarang keputusan disebabkan kelebihan dan peluang yang ada dalam ketiga-tiga pilihan tersebut. Akhirnya, saya mula berjumpa dengan rakan-rakan, senior, pensyarah dan ibu serta ayah untuk membuat pilihan.

Saya pernah meminta pendapat daripada seorang senior di fakulti sains yang saya kenali sebagai "Kak fatanah deraman" berkenaan dengan menyambung pelajaran di peringkat master. Kekhuatiran saya ketika itu adalah duit dan tidak yakin. 

Bayangkan jika saya menyambung pelajaran, saya perlu melepaskan kerjaya sebagai pegawai sains dan melupakan hasrat untuk menjadi seorang guru. Bahkan, setelah berhenti kerja sudah pastinya tidak ada duit yang mencukupi bagi meneruskan pelajaran.

"Duit?? jangan risau, asalkan niat kita sambung belajar kerana Allah, duit akan datang selepas itu. Cabaran dan masalah yang akan datang, "face" ja", Kata kak fatanah ketika terserempak di pusat penyelidikan matematik UPM. Saya menyimpan kata-kata tersebut dan mencari pendapat-pendapat yang lain untuk membuat pilihan. 

Kerisauan saya masih ada kerana mengkhuatiri tidak mampu berhadapan dengan penulisan saintifik yang berbahasa inggeris. Bahkan pula, perlu berhadapan dengan cabaran yang tidak menentu ketika menyambung pelajaran.

Saya juga mengambil pendapat sebahagian daripada saudara mara yang menggalakkan saya untuk menjadi seorang guru. "Jadi je cikgu dulu, sekarang ni cikgu senang nak sambung belajar, selepas sah jawatan ambil cuti bergaji penuh dan biasiswa untuk sambung belajar.". Saya juga menyimpan kata-kata tersebut dalam membuat pilihan. Sejujurnya, kata-kata sedemikian amat meyakinkan saya untuk meneruskan hasrat menjadi seorang guru.

Ketika di pejabat, saya berjumpa dengan rakan-rakan di sana untuk meminta pandangan serta pendapat. "Sekarang ni Clean Room pertama di UPM sedang dibangunkan. Kau adalah satu-satunya pegawai yang akan jaga Clean Room pertama di UPM . Peluang kau sangat cerah kalau terus jadi pegawai sains". Jika diikutkan, sememangnya saya berasakan itu adalah peluang yang sangat besar, ketika itu saya berasa bertambah berat untuk melepaskan jawatan sebagai pegawai sains.

Keliru? tidak menentu? sukar memilih? sememangnya itu adalah dilema yang dihadapi oleh saya. 

Setelah puas mencari pandangan dan pendapat, akhirnya ada satu lagi tempat yang saya belum meminta pendapat serta pandangan. Iaitu ibu dan ayah saya. Satu hari saya mengambil cuti dan pulang ke kampung halaman di Melaka. Saya duduk bersama ibu saya di meja makan dan bertanya "Mak, sekarang lan perlu buat pilihan, terus kerja sebagai pegawai sains, terima tawaran jadi guru atau sambung belajar, dan lan nak minta pandangan dari mak dan abah", sejujurnya ketika itu hati saya kuat untuk menjadi guru. Pilihan sambung belajar ketika tidak begitu kuat serta bekerja sebagai pegawai sains semakin tawar.

"Mak dan abah kalau boleh nak lan sambung belajar, tapi kami tidak memaksa", saya terdiam dan terkelu. Saya mengambil masa yang lama untuk membuat pilihan. Pilihan untuk menyambung pelajaran sudah tentu memberi risiko yang sangat besar. 

Ketika itu saya sudah ada perancangan untuk berkahwin, memiliki rumah, serta membina kehidupan sendiri. Jika saya memilih untuk sambung pelajaran, maka saya perlu melupakan hasrat untuk berkahwin, memiliki rumah serta membina keluarga sendiri. Ditambah pula, saya berasa kurang yakin untuk meneruskan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Jika tidak berjaya menghabiskan pelajaran, maka saya telah merugikan masa, tenaga serta duit. 

Sukar? sememangnya sukar! Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu. Setelah seberapa lama ketika, maka saya telah membuat keputusan untuk setuju dengan pandangan kedua ibu dan ayah saya. Ketika itu saya tanamkan keyakinan di dalam hati saya,

"Jika hari ini aku penuhi hasrat ibu dan ayah ku, maka mereka akan gembira dan redha. Maka aku yakin, redha Allah akan bersamaku. Tidak yakin? Kemudahan itu pasti akan datang selagi mana mereka redha dan Allah redha. Duit? aku yakin jika niat ini baik, Dia maha pemurah untuk beri aku rezeki. Tangguh untuk berkeluarga sendiri? Masa berkeluarga itu akan berkunjung, dan pasti lebih membahagiakan setelah itu"

Saya tanamkan keyakinan ini sedalam-dalam yang mungkin, Sememangnya sangat sukar untuk membuat pilihan sedemikian. Maka akhirnya, saya menghantar surat berhenti kerja dan menolak tawaran sebagai seorang guru demi menyambung pelajar di peringkat master.



Setelah menyambung pelajaran di dalam keadaan tiada gaji dan tidak berduit, saya rasa terkejut  kerana saya mendapat elaun yang ditawarkan dari pensyarah saya dalam keadaan tidak disangka-sangka. Elaun itu cukup untuk memenuhi keperluan saya sebelum mendapat biasiswa universiti pada akhir tahun 2013. Benar kata kak fatanah, 

"Duit?? jangan risau, asalkan niat kita sambung belajar kerana Allah, duit akan datang selepas itu. Cabaran dan masalah yang akan datang, "face" ja"

Semasa menyambung pelajaran saya juga mengalami tempoh kesedihan, kesusahan serta kepayahan. Namun, semua itu dapat di atasi dengan baik atas pertolongan dari Allah swt. Akhirnya saya bertambah sedar, redha Allah itu adalah keutamaan dalam memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat.

Setelah membuat pilihan sudah tentu Allah akan uji sejauh mana keteguhan dan kekuatan hati kita. Sedang menyambung pelajaran, saya mendapat tawaran untuk menjadi pensyarah asasi di Uniten serta USIM. Namun, saya menolak bulat-bulat tawaran tersebut dengan hati yang berat. Ini adalah jalan yang telah dipilih, maka tidak boleh berpatah balik ke belakang!

Ini adalah cerita saya dan pilihan saya, mungkin rakan-rakan lain ada cerita yang berbeza. Apa yang ingin saya sampaikan di sini, buat lah pilihan macam mana sekalipun, namun dahulukan redha Allah dan luruskan niat dalam membuat pilihan semata-mata kerana Allah swt. Juga, tetapkan hati untuk meneruskan pilihan itu dan jangan sesekali berpatah balik ke belakang.

Tamat

Hasil Nukilan:

Azlan Wildan

Nota : "Segala penulisan ini bukan bererti saya telah memiliki sepenuhnya apa yang tertulis di atas, sesungguhnya masih banyak lagi kekurangan yang ada pada diri saya. Saya dan anda, kita adalah sama. Jika kita menulis setelah kesempurnaan dicapai, maka tiada siapa yang akan menulis buat selamanya."

Pin It
Next Post Newer Post Previous Post Older Post Home

0 comments :

Post a Comment

Powered by Blogger.