Jurnal 6 : Cemerlangkah aku? Part 2

Leave a Comment
"Alhamdulillah, atas kesempatan dan waktu yang diberikan oleh Allah untuk menulis sedikit catatan agar dapat memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada sahabat handai serta pembaca umumnya. 

Mungkin tajuk di atas kelihatan "selective" terhadap medan pembaca, tetapi initipati sebenar di dalam nukilan artikel ini lebih bersifat umum dan terbuka. Penulisan ini juga adalah penulisan bersifat sedikit formal dan tidak formal. 

Walaubagaimanapun, penulisan ini lebih bersifat inspirasi dan motivasi seperti penulisan dari seorang penulis istimewa, Nick Vujicic. Mungkin penulisan ini tidak sehebat beliau, tetapi mudah-mudahan penulisan ini mampu memberikan sedikit sumber inspirasi kepada pembaca"

Jurnal 6 :

17 Januari 2015


Selepas mendapatkan keputusan SPM, saya sangat bersyukur kepada Allah pada ketika itu. Hasil azam saya untuk berubah sejak berada ditingkatan 4 membuahkan hasil! 

Sejujurnya bukan mudah untuk berubah, apatah lagi secara drastik sudah tentunya mustahil, tetapi perubahan secara beransur-ansur dan bersabar di dalam perubahan akhirnya perubahan itu menjadi kenyataan! Semasa di dalam tempoh permohonan ke IPT, saya telah menghantar kesemua borang-borang permohonan di merata tempat.

Antara IPT-IPT yang menawarkan tempat pengajian kepada saya adalah UNIKL (diploma chemical engineering), UNISEL (engineering foundation), UITM (diploma electrical engineering) dan kolej matrikulasi pahang.

Alhamdulillah, banyak rezeki dari Allah ketika itu. Murahnya rezeki dari Allah mungkin disebabkan usaha kita sendiri dan ringannya tangan kita untuk membantu orang lain agar turut berjaya!

Masalah mula timbul apabila pilihan kita hanyalah satu, tidak ada dua atau tiga. Waktu itu sangat mencabar untuk diri saya membuat pilihan. Ada sebagian daripada ahli keluarga saya meminta untuk saya mengambil diploma terlebih dahulu dan ada sebahagiannya tidak menghalang untuk saya teruskan ke kolej matrikulasi.

Waktu itu, saya dibisikkan dengan cabaran di matrikulasi yang susah dan tidak ramai yang boleh cemerlang. Boleh difahami kerisauan daripada ahli keluarga saya jika saya mengambil keputusan untuk ke kolej matrikulasi.

Namun begitu, saya teringat kata-kata sahabat saya, "jangan ikut kata orang yang kata tak boleh, ikut kata diri sendiri yang kata BOLEH!"

Saya mula mencabar diri saya sendiri untuk membuktikan bahawa saya mampu cemerlang di kolej matrikulasi!

Saya yakin akan kemampuan diri saya walaupun kelihatan mustahil. Kejayaan itu boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja asalkan dia memiliki keyakinan dan azam yang tinggi!

Saya masih ingat, janji-janji saya kepada ibu saya sebelum saya melangkah ke kolej matrikulasi, "Mak, lan janji dengan mak, habis matrikulasi lan akan dapat keputusan yang cemerlang"

Saya meletakkan azam yang sangat tinggi dan matlamat saya hanyalah cemerlang ketika di matrikulasi. Waktu itu, tawakal saya hanya kepada Allah dan saya yakin Allah pasti akan bersama dengan saya.

Setelah melangkah ke kolej matrikulasi, saya luangkan waktu belajar sehingga 3 pagi. Sabtu dan ahad hanyalah waktu-waktu untuk berada di perpustakaan. Aktiviti dengan rakan-rakan saya tolak kesemuanya atas alasan ingin menumpukan kepada pelajaran. Sejujurnya, saya tidak pernah berusaha sehebat begitu ketika di bangku sekolah.

Hanya satu faktor yang boleh menentukan sejauh mana usaha kita untuk mendapatkan sesuatu. Iaitu, setinggi mana kita meletakkan matlamat! Jika kita meletakkan matlamat untuk dapat RM 5, maka usaha kita hanya untuk mendapatkan RM 5. Jika kita meletakkan matalamat untuk RM 1000, maka usaha kita semestinya ke arah mendapatkan RM 1000!

Selama 9 bulan saya menjalani kehidupan sebagai pelajar matrikulasi yang hanya menumpukan usaha sekeras tenaga bagi memenuhi janji-janji saya kepada ibu saya. Jika orang lain "enjoy" dengan kehidupan matrikulasi atas keseronokan berjalan-jalan di pusat bandar, saya hanya "enjoy" dengan menelaah buku di perpusatakaan.

Akhirnya, setelah tamat matrikulasi, saya telah berhasil mendapatkan keputusan yang cemerlang. Janji-janji yang telah saya berikan kepada ibu saya dapat dipenuhi! Perasaan saya pada waktu itu, hanya Allah yang lebih mengetahui.

Setelah tamat matrikulasi, saya perlu membuat pilihan terhadap bidang yang akan saya ceburi ketika di IPTA nanti. Sejujurnya, membuat pilihan itu amat sukar. Banyak pendapat dan saranan yang telah diberikan kepada saya pada waktu itu. 

Ada yang meminta saya untuk mengambil bidang engineering, medic, forensic dan pelbagai lagi bidang. Tetapi, saya memilih bidang, "sains fizik dengan pendidikan". Ramai yang terkejut pada waktu itu terutamanya adik beradik saya sendiri.

Waktu itu saya memiliki peluang untuk mengambil bidang yang lebih popular, tetapi saya memilih bidang fizik dengan pendidikan yang akhirnya menjadi seorang guru di sekolah. Ramai yang menyindir saya pada ketika itu disebabkan bidang saya yang tidak popular dan remeh dalam kalangan masyarakat.

Namun, saya berkata kepada diri saya sendiri, "Orang yang cemerlang tidak akan ikut telunjuk orang lain, tetapi dia ikut telunjuk diri sendiri!"

Saya memilih bidang ini disebabkan minat saya yang begitu mendalam untuk menyampaikan ilmu serta memberikan motivasi kepada orang lain agar turut cemerlang . Minat ini juga disebabkan pengalaman saya yang pernah menjadi mentor di sekolah dan sikap yang suka menaikkan semangat orang lain.

Saya tidak peduli kata-kata orang lain dan tetap berdegil untuk meneruskan bidang tersebut. Akhirnya, saya telah berjaya menjadikan diri sendiri sebagai seorang mahasiswa Universiti Putra Malaysia jurusan Sarjana muda sains fizik dengan pendidikan.

Sewaktu bergelar mahasiswa, saya mula aktif di dalam aktiviti kolej dan tarbiyyah. Waktu itu, saya berpandangan ulat buku semata-mata tidak akan menjamin kecemerlangan saya pada suatu masa nanti. Saya perlu tingkatkan keupayaan diri untuk berani bercakap di khalayak ramai, mampu mengendalikan program dan memiliki asuhan tarbiyyah yang mantap.

Elemen tersebut pada hemat saya sangat penting di masa hadapan dan menjadi ulat buku semata-mata tidak boleh menjadikan diri saya sebagai orang yang mampu bekerja.

Sepanjang bergelar mahasiswa, saya telah berhempas pulas untuk aktif di dalam program dan tarbiyyah di samping mengekalkan kecemerlangan akademik. Kelihatan mustahil? tidak bagi saya. Tidak ada yang mustahil selagi perkara itu berada di dalam batasan keupayaan manusia.

Antara medium yang saya ceburi ketika di universiti adalah PEMBINA (persatuan belia islam nasional), Debat bahasa melayu, pengurusan program, Usrah, sukan memanah dan sebagainya. Kesemua ini saya telah ceburi dengan baik dan kesannya begitu luar biasa!

Peringkat awal sememangnya sukar untuk membahagikan masa, namun, sekiranya perkara ini dapat dilalui secara perlahan-lahan maka kita pasti akan dapat seimbangkan antara pelajaran dan aktivisme.

Di dalam tempoh pengajian universiti, ada yang memandang rendah kepada bidang yang saya ceburi dan tidak melihat peluang untuk saya melonjak kehadapan.

Bagi saya, itu hanyalah pandangan manusia. Pandangan diri sendiri kepada diri kita lebih penting! Saya yakin, saya boleh pergi dengan lebih jauh walaupun dengan bidang yang tidak popular ini.

Selama 4 tahun saya telah melalui zaman universiti dengan penuh keseronokan yang tidak pernah saya rasai sejak di bangku sekolah. Saya pernah mendapatkan keputusan dekan untuk beberapa semester secara berturut-turut, anugerah thesis terbaik, pendebat terbaik universiti dan sebagainya. Bagi saya pencapaian itu adalah pengalaman yang sangat berharga.

Di peringkat universiti, jika saya hanya menjadi ulat buku dan tidak mahu menjenguk ke dunia luar, maka saya pasti tidak akan dapat merasai pengalaman sebegitu. 

Ada orang yang bertanya kepada saya, bagaimana untuk mudah mendapatkan ilmu, maka saya katakan "banyakkan memberi".

Saya amalkan konsep ini sejak di bangku sekolah, dan sememangnya memberikan hasil yang sangat berharga!

Selepas tamat pengajian ijazah sarjana muda, maka akhirnya saya telah berjaya membuktikan kepada orang-orang yang berada di sekeliling saya pada waktu itu, saya mampu menggengam sekeping ijazah sarjana muda!!

Bermula daripada pelajar yang tidak cemerlang, akhirnya menjadi pelajar yang cemerlang. Bukan mudah, namun tidak mustahil.

Setelah tamat pengajian, saya telah membuat keputusan untuk menyambung pelajaran di peringkat PhD. Ramai yang ragu-ragu dengan saya ketika itu kerana cabaran PhD tidak seperti matrikulasi mahupun degree. Cabarannya tentulah lebih sukar dan panjang!

Seperti sebelum ini, saya tetap berkata dengan diri saya, "Jangan ikut kata orang kata tak boleh, ikut kata diri sendiri yang kata boleh!"

Sejujurnya, terlalu banyak pengorbanan yang telah saya lakukan untuk mengejar sekeping ijazah yang bertulis PhD. Namun, saya yakin pengorbanan itu suatu masa nanti akan membuahkan hasil!

Alhamdulillah sehingga ke hari ini saya masih bergelar sebagai pelajar PhD dan mengekalkan momentum usaha yang sama. 

InsyaAllah, setelah tamat PhD nanti saya akan membuat satu artikel atau buku khas sebagai panduan kepada semua orang tentang bagaimana untuk mengejar matlamat dan cita-cita yang besar!

Di bawah saya sertakan beberapa tips dan nasihat untuk cemerlang:

1. Positif dan yakin dengan diri sendiri
2. Matlamat dan cita-cita perlu besar
3. Banyakkan memberi motivasi kepada orang lain
4. Amalkan konsep "tawakal" kepada Allah
5. Bahagiakan ibu bapa
6. Jangan kedekut
7. Wujudkan perasaan sayang kepada orang lain
8. Jaga hubungan dengan Allah
9. Bersihkan hati dari sifat hasad, dengki dan cemburu buta
10. Lahirkan perasaan gembira apabila melihat kejayaan orang lain
11. Banyakkan memberi
12. Jadilah orang yang sentiasa tersenyum :)
13. Cari rakan-rakan yang soleh
14. Kawal dan jaga pemakanan yang seimbang
15. Jaga tutur kata dan hormat kepada orang lain
16. Jangan pandang rendah kepada orang lain
17. Hargailah kebaikan orang lain
18. Jauhi sifat malas
19. Jangan telalu leka dengan hiburan
20. Banyakkan melihat perkara yang baik (contoh: alquran/memandang wajah ibu ayah)

dan anda akan berjaya!! insyaAllah :)

Bibliografi:


Ucapan kepada peserta Kem di gua batu maloi


Pidato di program HIMMAH, UPM


Rakan-rakan sepengajian di UPM


Anugerah tokoh mahasiswa PEMBINA


Ahli-ahli pimpinan PEMBINA IPT


Anugerah thesis terbaik


Majlis hari raya di masjid jamek serdang


Pertandingan debat integrasi UPM

Read More

Jurnal 5 : Cemerlangkah aku? Part 1

1 comment
"Alhamdulillah, atas kesempatan dan waktu yang diberikan oleh Allah untuk menulis sedikit catatan agar dapat memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada sahabat handai serta pembaca umumnya. 

Mungkin tajuk di atas kelihatan "selective" terhadap medan pembaca, tetapi initipati sebenar di dalam nukilan artikel ini lebih bersifat umum dan terbuka. Penulisan ini juga adalah penulisan bersifat sedikit formal dan tidak formal. 

Walaubagaimanapun, penulisan ini lebih bersifat inspirasi dan motivasi seperti penulisan dari seorang penulis istimewa, Nick Vujicic. Mungkin penulisan ini tidak sehebat beliau, tetapi mudah-mudahan penulisan ini mampu memberikan sedikit sumber inspirasi kepada pembaca"

Jurnal 5 :

17 Januari 2015


Anak kau dapat berapa A UPSR?”, “Azlan, berapa A dapat masa UPSR lepas?”, “azlan dapat 5A tak UPSR hari tu?

Ironinya, saya hanya mampu menjawab, “tak de pun makcik, 3B 2C je…”… Peristiwa ini berlaku 13 tahun yang lepas…

Hari ini mungkin orang berasa pelik, “tipulah masa kau sekolah tak cemerlang, PhD kot sekarang”… Kita mungkin boleh menganggap cemerlangnya seseorang itu pada hari ini disebabkan cemerlangnya dirinya pada masa yang lepas.

Untuk kes saya, tidak sama sekali. Jadi, macam mana saya boleh bergelar pelajar PhD seperti hari ini? Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk menulis coretan pengalaman saya sejak dibangku sekolah sehingga bergelar sebagai pelajar PhD. Tetapi disebabkan permintaan daripada sahabat saya, salah seorang daripada admin tarbiyyah sentap, maka saya cuba menulis sebaik mungkin agar sedikit sebanyak memberikan suntikan inspirasi kepada orang lain untuk berjaya.

Sewaktu berada di sekolah rendah saya hanyalah seorang kanak-kanak yang tidak ada keistimewaan di dalam akademik. Malah, selalu dimarahi guru disebabkan prestasi pelajaran yang sangat teruk.

Saya masih ingat ketika berada di darjah satu, subjek “English” adalah subjek yang paling saya lemah. Sehinggakan guru English pernah menegur di dalam kelas, “Azlan ni bukan dia tidak pandai, cuma dia lembab

Walaupun pernah disindir dan diejek selepas itu oleh rakan-rakan saya, saya tidak pernah ambil hati walaupun sedikit dengan kata-kata guru saya tersebut. Kerana ketika itu saya memahami dan berasakan betul apa yang dikatakan oleh guru terbabit.

Ketika berada di darjah 6, seorang guru matematik yang merupakan guru besar di dalam sekolah pernah hampir-hampir menghubungi kedua ibu bapa saya kerana keputusan percubaan UPSR di dalam subjek matematik yang sangat teruk.

Sepanjang berada di sekolah rendah, denda-denda seperti duduk di atas kerusi, duduk diluar pintu kelas, kena ketuk dengan buku di atas kepala, kena rotan di atas tangan, dicubit pipi sehingga hampir menitiskan air mata, dilempang oleh guru, semua itu pernah saya lalui. Sehinggakan saya pernah dipanggil “Nobita” kerana selalu dimarahi guru dan teruk di dalam prestasi akademik.

Namun begitu, saya tidak pernah ambil hati dan marah kepada guru-guru saya ketika disekolah rendah dahulu. Kerana sememangnya ketika disekolah rendah saya tidak pernah serius di dalam pelajaran dan selalu bermain-main. Selayaknya guru-guru saya ketika itu memberikan hukuman kepada diri saya supaya sedar dan berubah. Tetapi, saya masih tak nak sedar dan degil pada ketika itu.

Bagaimana pula di sekolah menengah? Di sekolah menengah, ketika berada di tingkatan satu hingga tiga saya hanya bersekolah di sekolah harian biasa dan guru-guru ketika itu tidak terlalu menekan di dalam aspek akademik. Akademik saya masih biasa, dimarahi oleh guru kerana kerja rumah tidak siap dan gagal di dalam peperiksaan sudah menjadi perkara lumrah.

Setiap kali pulang ke rumah, saya akan bersantai di atas lantai dengan menonton drama di telivision sambil makan keropok jajan. Alangkah bahagianya ketika itu sehingga badan saya turut menjadi “bahagia”. Ketika itu, keluarga dan saudara mara saya hilang keyakinan bahawa suatu masa nanti saya akan ke universiti.

Sikap yang malas, banyak bermain, suka menonton television, suka tidur, dan suka keluar dengan rakan setiap kali waktu petang menjadikan diri saya lemah dan teruk di dalam akademik. Saya pernah dihantar ke rumah saudara saya ketika waktu cuti sekolah dengan harapan saya dapat belajar dan tingkatkan prestasi akademik. Namun begitu, keadaan tetap menjadi hambar.

Betapa lemahnya saya di dalam pelajaran sehinggakan saudara saya tidak mampu berbuat apa-apa. Begitu ironi bukan?

Menjadi bahan sindiran dan kritikan oleh guru-guru serta saudara mara sudah menjadi lumrah kepada saya ketika itu. Sebagai seorang manusia, saya selalu menangis dan lemah semangat kerana sindiran serta kritikan sebegitu kepada diri saya.

Saya pernah mengharapkan seseorang di dalam hidup saya yang mampu memberikan kata-kata semangat, dorongan, motivasi dan bimbing saya supaya cemerlang dan berjaya. Namun, sememangnya tidak akan pernah ada kerana sikap diri sendiri yang tidak mahu diubah.

Keputusan PMR saya ketika itu sangat hambar. Hanya memperoleh 2A sahaja dan selebihnya B dan C. Amat mengecewakan terutamanya kedua ibu bapa saya. Bertambah-tambah kritikan di sekeliling saya sehingga seolah olah tiada lagi harapan yang boleh diletakkan di dalam diri saya.

Jadi? Sejak bila saya berubah?

Saya mula berubah ketika berada di tingkatan 4. Ketika itu saya mendapat tawaran untuk masuk ke sekolah teknik dan duduk di asrama. Setelah mendapatkan tawaran itu, saya mula menanam hasrat untuk serius di dalam perubahan dan ingin menjadi orang yang cemerlang pada suatu masa nanti.

Saya mula buang sikap malas dan selalu ke bilik prep untuk mengulang kaji pelajaran. Keropok jajan kesukaan saya, saya tinggalkan sejauhnya dan telivision pula tidak mungkin dapat ditonton di asrama sekolah.

Usaha saya untuk berubah ternyata berhasil apabila peperiksaan matematik tambahan ketika berada di tingkatan 4, saya satu-satunya pelajar di dalam sekolah yang memperoleh A.

Ketika itu saya mula mendapatkan perhatian di dalam sekolah dan rakan-rakan saya mula melihat saya sebagai “budak pandai add-math”. Saat itu barulah saya dapat merasai perasaan menjadi pelajar yang “ada harapan”.

Namun begitu, saya tidak pernah berasa sombong dan memandang hina kepada rakan-rakan lain yang lemah. Bahkan, ketika di dalam asrama saya menjadi mentor kepada pelajar-pelajar yang lemah di dalam matematik kerana simpati kepada mereka. Saya juga pernah menjadi pelajar lemah dan  bahan kritikan orang, sudah semestinya saya turut simpati kepada mereka yang mengalami nasib yang sama seperti saya.

Rakan-rakan yang rapat dengan saya ketika itu adalah di dalam kalangan mereka yang lemah akademik. Kerana saya berasakan satu keperluan untuk menyuntik inspirasi kepada mereka agar turut sama-sama cemerlang seperti saya. Saya juga pernah menjadi mentor untuk mengajar subjek fizik di dalam kalangan rakan-rakan sebaya terutamanya mereka yang lemah di dalam subjek tersebut.

Setiap kali rakan-rakan saya mengadu berasa tidak pandai dan lemah, saya akan cuba sedaya upaya meyakinkan pada mereka bahawa “kita boleh!!”. Ketika berada ditingkatan 5, ada seorang rakan dari aliran vokasional ingin mencuba mengambil peperiksaan matematik tambahan di dalam SPM. 

Ketika itu, ramai rakan-rakan saya yang berada di aliran teknik menyindir dirinya, “boleh ke ko nak ambil ni? Macam tak caya je”, “add math susah tahu tak, kitorang pun fail, apa lagi ko”, “lupakan je la, buang masa ko je”..

Namun, saya  tidak seperti mereka. Ketika sahabat saya itu mengadu kepada saya tentang kritikan-kritikan orang kepada dirinya, saya berkata, “takpe, ambil je dan usaha sekurang-kurangnya untuk lulus, tak salah untuk ko mencuba, aku boleh ajar ko add-math, jangan risau, buat tak tahu je apa diorang nak kata kat ko”. Pengalaman saya yang pernah dikritik dan disindir menjadikan saya sensitif dan bersikap untuk memberikan kata-kata harapan dan semangat kepada orang lain.

Saat itu saya mula sedar, kejayaan yang Allah beri itu bukan hanya untuk diri saya. Bahkan perlu dikongsi bersama dengan orang lain. Akhirnya, setelah mendapatkan keputusan SPM saya berjaya membuktikan kepada kedua ibu bapa saya di mana saya masih ada harapan dan boleh cemerlang seperti rakan-rakan yang lain.

Tidak ramai yang menyangka saya mampu mendapatkan keputusan SPM yang cemerlang jika diikutkan sejarah saya yang tidak pernah cemerlang ketika itu.

Bersambung…..



Gambar sewaktu form 3 (Tembam sebab asyik bersantai di rumah)




Gambar form 5 (kurus sebab mula nak berubah!)


Hari raya selepas tamat SPM





Read More
Next Post Newer Posts Previous Post Older Posts Home
Powered by Blogger.