Mengenai Penulis?

Saya? Tiada apa-apa yang istimewa pada diri saya yang boleh diceritakan melainkan, saya adalah insan seperti anda! Anda makan? saya pun makan. Anda menangis? saya pun menangis. Anda gembira? saya pun gembira. Anda bahagia? saya juga bahagia! Maka, inilah kita seorang manusia yang kadangkala sedih, gembira, tenang dan bahagia. Disebabkan kita adalah sama, maka mari kita berkongsi pengalaman dan apa sahaja yang berkaitan dengan kita sebagai manusia di dalam satu jurnal agar menjadi rujukan buat anak cucu dan cicit kita. Selamat membaca!

author

Jurnal 6 : Cemerlangkah aku? Part 2

Leave a Comment
"Alhamdulillah, atas kesempatan dan waktu yang diberikan oleh Allah untuk menulis sedikit catatan agar dapat memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada sahabat handai serta pembaca umumnya. 

Mungkin tajuk di atas kelihatan "selective" terhadap medan pembaca, tetapi initipati sebenar di dalam nukilan artikel ini lebih bersifat umum dan terbuka. Penulisan ini juga adalah penulisan bersifat sedikit formal dan tidak formal. 

Walaubagaimanapun, penulisan ini lebih bersifat inspirasi dan motivasi seperti penulisan dari seorang penulis istimewa, Nick Vujicic. Mungkin penulisan ini tidak sehebat beliau, tetapi mudah-mudahan penulisan ini mampu memberikan sedikit sumber inspirasi kepada pembaca"

Jurnal 6 :

17 Januari 2015


Selepas mendapatkan keputusan SPM, saya sangat bersyukur kepada Allah pada ketika itu. Hasil azam saya untuk berubah sejak berada ditingkatan 4 membuahkan hasil! 

Sejujurnya bukan mudah untuk berubah, apatah lagi secara drastik sudah tentunya mustahil, tetapi perubahan secara beransur-ansur dan bersabar di dalam perubahan akhirnya perubahan itu menjadi kenyataan! Semasa di dalam tempoh permohonan ke IPT, saya telah menghantar kesemua borang-borang permohonan di merata tempat.

Antara IPT-IPT yang menawarkan tempat pengajian kepada saya adalah UNIKL (diploma chemical engineering), UNISEL (engineering foundation), UITM (diploma electrical engineering) dan kolej matrikulasi pahang.

Alhamdulillah, banyak rezeki dari Allah ketika itu. Murahnya rezeki dari Allah mungkin disebabkan usaha kita sendiri dan ringannya tangan kita untuk membantu orang lain agar turut berjaya!

Masalah mula timbul apabila pilihan kita hanyalah satu, tidak ada dua atau tiga. Waktu itu sangat mencabar untuk diri saya membuat pilihan. Ada sebagian daripada ahli keluarga saya meminta untuk saya mengambil diploma terlebih dahulu dan ada sebahagiannya tidak menghalang untuk saya teruskan ke kolej matrikulasi.

Waktu itu, saya dibisikkan dengan cabaran di matrikulasi yang susah dan tidak ramai yang boleh cemerlang. Boleh difahami kerisauan daripada ahli keluarga saya jika saya mengambil keputusan untuk ke kolej matrikulasi.

Namun begitu, saya teringat kata-kata sahabat saya, "jangan ikut kata orang yang kata tak boleh, ikut kata diri sendiri yang kata BOLEH!"

Saya mula mencabar diri saya sendiri untuk membuktikan bahawa saya mampu cemerlang di kolej matrikulasi!

Saya yakin akan kemampuan diri saya walaupun kelihatan mustahil. Kejayaan itu boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja asalkan dia memiliki keyakinan dan azam yang tinggi!

Saya masih ingat, janji-janji saya kepada ibu saya sebelum saya melangkah ke kolej matrikulasi, "Mak, lan janji dengan mak, habis matrikulasi lan akan dapat keputusan yang cemerlang"

Saya meletakkan azam yang sangat tinggi dan matlamat saya hanyalah cemerlang ketika di matrikulasi. Waktu itu, tawakal saya hanya kepada Allah dan saya yakin Allah pasti akan bersama dengan saya.

Setelah melangkah ke kolej matrikulasi, saya luangkan waktu belajar sehingga 3 pagi. Sabtu dan ahad hanyalah waktu-waktu untuk berada di perpustakaan. Aktiviti dengan rakan-rakan saya tolak kesemuanya atas alasan ingin menumpukan kepada pelajaran. Sejujurnya, saya tidak pernah berusaha sehebat begitu ketika di bangku sekolah.

Hanya satu faktor yang boleh menentukan sejauh mana usaha kita untuk mendapatkan sesuatu. Iaitu, setinggi mana kita meletakkan matlamat! Jika kita meletakkan matlamat untuk dapat RM 5, maka usaha kita hanya untuk mendapatkan RM 5. Jika kita meletakkan matalamat untuk RM 1000, maka usaha kita semestinya ke arah mendapatkan RM 1000!

Selama 9 bulan saya menjalani kehidupan sebagai pelajar matrikulasi yang hanya menumpukan usaha sekeras tenaga bagi memenuhi janji-janji saya kepada ibu saya. Jika orang lain "enjoy" dengan kehidupan matrikulasi atas keseronokan berjalan-jalan di pusat bandar, saya hanya "enjoy" dengan menelaah buku di perpusatakaan.

Akhirnya, setelah tamat matrikulasi, saya telah berhasil mendapatkan keputusan yang cemerlang. Janji-janji yang telah saya berikan kepada ibu saya dapat dipenuhi! Perasaan saya pada waktu itu, hanya Allah yang lebih mengetahui.

Setelah tamat matrikulasi, saya perlu membuat pilihan terhadap bidang yang akan saya ceburi ketika di IPTA nanti. Sejujurnya, membuat pilihan itu amat sukar. Banyak pendapat dan saranan yang telah diberikan kepada saya pada waktu itu. 

Ada yang meminta saya untuk mengambil bidang engineering, medic, forensic dan pelbagai lagi bidang. Tetapi, saya memilih bidang, "sains fizik dengan pendidikan". Ramai yang terkejut pada waktu itu terutamanya adik beradik saya sendiri.

Waktu itu saya memiliki peluang untuk mengambil bidang yang lebih popular, tetapi saya memilih bidang fizik dengan pendidikan yang akhirnya menjadi seorang guru di sekolah. Ramai yang menyindir saya pada ketika itu disebabkan bidang saya yang tidak popular dan remeh dalam kalangan masyarakat.

Namun, saya berkata kepada diri saya sendiri, "Orang yang cemerlang tidak akan ikut telunjuk orang lain, tetapi dia ikut telunjuk diri sendiri!"

Saya memilih bidang ini disebabkan minat saya yang begitu mendalam untuk menyampaikan ilmu serta memberikan motivasi kepada orang lain agar turut cemerlang . Minat ini juga disebabkan pengalaman saya yang pernah menjadi mentor di sekolah dan sikap yang suka menaikkan semangat orang lain.

Saya tidak peduli kata-kata orang lain dan tetap berdegil untuk meneruskan bidang tersebut. Akhirnya, saya telah berjaya menjadikan diri sendiri sebagai seorang mahasiswa Universiti Putra Malaysia jurusan Sarjana muda sains fizik dengan pendidikan.

Sewaktu bergelar mahasiswa, saya mula aktif di dalam aktiviti kolej dan tarbiyyah. Waktu itu, saya berpandangan ulat buku semata-mata tidak akan menjamin kecemerlangan saya pada suatu masa nanti. Saya perlu tingkatkan keupayaan diri untuk berani bercakap di khalayak ramai, mampu mengendalikan program dan memiliki asuhan tarbiyyah yang mantap.

Elemen tersebut pada hemat saya sangat penting di masa hadapan dan menjadi ulat buku semata-mata tidak boleh menjadikan diri saya sebagai orang yang mampu bekerja.

Sepanjang bergelar mahasiswa, saya telah berhempas pulas untuk aktif di dalam program dan tarbiyyah di samping mengekalkan kecemerlangan akademik. Kelihatan mustahil? tidak bagi saya. Tidak ada yang mustahil selagi perkara itu berada di dalam batasan keupayaan manusia.

Antara medium yang saya ceburi ketika di universiti adalah PEMBINA (persatuan belia islam nasional), Debat bahasa melayu, pengurusan program, Usrah, sukan memanah dan sebagainya. Kesemua ini saya telah ceburi dengan baik dan kesannya begitu luar biasa!

Peringkat awal sememangnya sukar untuk membahagikan masa, namun, sekiranya perkara ini dapat dilalui secara perlahan-lahan maka kita pasti akan dapat seimbangkan antara pelajaran dan aktivisme.

Di dalam tempoh pengajian universiti, ada yang memandang rendah kepada bidang yang saya ceburi dan tidak melihat peluang untuk saya melonjak kehadapan.

Bagi saya, itu hanyalah pandangan manusia. Pandangan diri sendiri kepada diri kita lebih penting! Saya yakin, saya boleh pergi dengan lebih jauh walaupun dengan bidang yang tidak popular ini.

Selama 4 tahun saya telah melalui zaman universiti dengan penuh keseronokan yang tidak pernah saya rasai sejak di bangku sekolah. Saya pernah mendapatkan keputusan dekan untuk beberapa semester secara berturut-turut, anugerah thesis terbaik, pendebat terbaik universiti dan sebagainya. Bagi saya pencapaian itu adalah pengalaman yang sangat berharga.

Di peringkat universiti, jika saya hanya menjadi ulat buku dan tidak mahu menjenguk ke dunia luar, maka saya pasti tidak akan dapat merasai pengalaman sebegitu. 

Ada orang yang bertanya kepada saya, bagaimana untuk mudah mendapatkan ilmu, maka saya katakan "banyakkan memberi".

Saya amalkan konsep ini sejak di bangku sekolah, dan sememangnya memberikan hasil yang sangat berharga!

Selepas tamat pengajian ijazah sarjana muda, maka akhirnya saya telah berjaya membuktikan kepada orang-orang yang berada di sekeliling saya pada waktu itu, saya mampu menggengam sekeping ijazah sarjana muda!!

Bermula daripada pelajar yang tidak cemerlang, akhirnya menjadi pelajar yang cemerlang. Bukan mudah, namun tidak mustahil.

Setelah tamat pengajian, saya telah membuat keputusan untuk menyambung pelajaran di peringkat PhD. Ramai yang ragu-ragu dengan saya ketika itu kerana cabaran PhD tidak seperti matrikulasi mahupun degree. Cabarannya tentulah lebih sukar dan panjang!

Seperti sebelum ini, saya tetap berkata dengan diri saya, "Jangan ikut kata orang kata tak boleh, ikut kata diri sendiri yang kata boleh!"

Sejujurnya, terlalu banyak pengorbanan yang telah saya lakukan untuk mengejar sekeping ijazah yang bertulis PhD. Namun, saya yakin pengorbanan itu suatu masa nanti akan membuahkan hasil!

Alhamdulillah sehingga ke hari ini saya masih bergelar sebagai pelajar PhD dan mengekalkan momentum usaha yang sama. 

InsyaAllah, setelah tamat PhD nanti saya akan membuat satu artikel atau buku khas sebagai panduan kepada semua orang tentang bagaimana untuk mengejar matlamat dan cita-cita yang besar!

Di bawah saya sertakan beberapa tips dan nasihat untuk cemerlang:

1. Positif dan yakin dengan diri sendiri
2. Matlamat dan cita-cita perlu besar
3. Banyakkan memberi motivasi kepada orang lain
4. Amalkan konsep "tawakal" kepada Allah
5. Bahagiakan ibu bapa
6. Jangan kedekut
7. Wujudkan perasaan sayang kepada orang lain
8. Jaga hubungan dengan Allah
9. Bersihkan hati dari sifat hasad, dengki dan cemburu buta
10. Lahirkan perasaan gembira apabila melihat kejayaan orang lain
11. Banyakkan memberi
12. Jadilah orang yang sentiasa tersenyum :)
13. Cari rakan-rakan yang soleh
14. Kawal dan jaga pemakanan yang seimbang
15. Jaga tutur kata dan hormat kepada orang lain
16. Jangan pandang rendah kepada orang lain
17. Hargailah kebaikan orang lain
18. Jauhi sifat malas
19. Jangan telalu leka dengan hiburan
20. Banyakkan melihat perkara yang baik (contoh: alquran/memandang wajah ibu ayah)

dan anda akan berjaya!! insyaAllah :)

Bibliografi:


Ucapan kepada peserta Kem di gua batu maloi


Pidato di program HIMMAH, UPM


Rakan-rakan sepengajian di UPM


Anugerah tokoh mahasiswa PEMBINA


Ahli-ahli pimpinan PEMBINA IPT


Anugerah thesis terbaik


Majlis hari raya di masjid jamek serdang


Pertandingan debat integrasi UPM

Read More

Jurnal 5 : Cemerlangkah aku? Part 1

1 comment
"Alhamdulillah, atas kesempatan dan waktu yang diberikan oleh Allah untuk menulis sedikit catatan agar dapat memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada sahabat handai serta pembaca umumnya. 

Mungkin tajuk di atas kelihatan "selective" terhadap medan pembaca, tetapi initipati sebenar di dalam nukilan artikel ini lebih bersifat umum dan terbuka. Penulisan ini juga adalah penulisan bersifat sedikit formal dan tidak formal. 

Walaubagaimanapun, penulisan ini lebih bersifat inspirasi dan motivasi seperti penulisan dari seorang penulis istimewa, Nick Vujicic. Mungkin penulisan ini tidak sehebat beliau, tetapi mudah-mudahan penulisan ini mampu memberikan sedikit sumber inspirasi kepada pembaca"

Jurnal 5 :

17 Januari 2015


Anak kau dapat berapa A UPSR?”, “Azlan, berapa A dapat masa UPSR lepas?”, “azlan dapat 5A tak UPSR hari tu?

Ironinya, saya hanya mampu menjawab, “tak de pun makcik, 3B 2C je…”… Peristiwa ini berlaku 13 tahun yang lepas…

Hari ini mungkin orang berasa pelik, “tipulah masa kau sekolah tak cemerlang, PhD kot sekarang”… Kita mungkin boleh menganggap cemerlangnya seseorang itu pada hari ini disebabkan cemerlangnya dirinya pada masa yang lepas.

Untuk kes saya, tidak sama sekali. Jadi, macam mana saya boleh bergelar pelajar PhD seperti hari ini? Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk menulis coretan pengalaman saya sejak dibangku sekolah sehingga bergelar sebagai pelajar PhD. Tetapi disebabkan permintaan daripada sahabat saya, salah seorang daripada admin tarbiyyah sentap, maka saya cuba menulis sebaik mungkin agar sedikit sebanyak memberikan suntikan inspirasi kepada orang lain untuk berjaya.

Sewaktu berada di sekolah rendah saya hanyalah seorang kanak-kanak yang tidak ada keistimewaan di dalam akademik. Malah, selalu dimarahi guru disebabkan prestasi pelajaran yang sangat teruk.

Saya masih ingat ketika berada di darjah satu, subjek “English” adalah subjek yang paling saya lemah. Sehinggakan guru English pernah menegur di dalam kelas, “Azlan ni bukan dia tidak pandai, cuma dia lembab

Walaupun pernah disindir dan diejek selepas itu oleh rakan-rakan saya, saya tidak pernah ambil hati walaupun sedikit dengan kata-kata guru saya tersebut. Kerana ketika itu saya memahami dan berasakan betul apa yang dikatakan oleh guru terbabit.

Ketika berada di darjah 6, seorang guru matematik yang merupakan guru besar di dalam sekolah pernah hampir-hampir menghubungi kedua ibu bapa saya kerana keputusan percubaan UPSR di dalam subjek matematik yang sangat teruk.

Sepanjang berada di sekolah rendah, denda-denda seperti duduk di atas kerusi, duduk diluar pintu kelas, kena ketuk dengan buku di atas kepala, kena rotan di atas tangan, dicubit pipi sehingga hampir menitiskan air mata, dilempang oleh guru, semua itu pernah saya lalui. Sehinggakan saya pernah dipanggil “Nobita” kerana selalu dimarahi guru dan teruk di dalam prestasi akademik.

Namun begitu, saya tidak pernah ambil hati dan marah kepada guru-guru saya ketika disekolah rendah dahulu. Kerana sememangnya ketika disekolah rendah saya tidak pernah serius di dalam pelajaran dan selalu bermain-main. Selayaknya guru-guru saya ketika itu memberikan hukuman kepada diri saya supaya sedar dan berubah. Tetapi, saya masih tak nak sedar dan degil pada ketika itu.

Bagaimana pula di sekolah menengah? Di sekolah menengah, ketika berada di tingkatan satu hingga tiga saya hanya bersekolah di sekolah harian biasa dan guru-guru ketika itu tidak terlalu menekan di dalam aspek akademik. Akademik saya masih biasa, dimarahi oleh guru kerana kerja rumah tidak siap dan gagal di dalam peperiksaan sudah menjadi perkara lumrah.

Setiap kali pulang ke rumah, saya akan bersantai di atas lantai dengan menonton drama di telivision sambil makan keropok jajan. Alangkah bahagianya ketika itu sehingga badan saya turut menjadi “bahagia”. Ketika itu, keluarga dan saudara mara saya hilang keyakinan bahawa suatu masa nanti saya akan ke universiti.

Sikap yang malas, banyak bermain, suka menonton television, suka tidur, dan suka keluar dengan rakan setiap kali waktu petang menjadikan diri saya lemah dan teruk di dalam akademik. Saya pernah dihantar ke rumah saudara saya ketika waktu cuti sekolah dengan harapan saya dapat belajar dan tingkatkan prestasi akademik. Namun begitu, keadaan tetap menjadi hambar.

Betapa lemahnya saya di dalam pelajaran sehinggakan saudara saya tidak mampu berbuat apa-apa. Begitu ironi bukan?

Menjadi bahan sindiran dan kritikan oleh guru-guru serta saudara mara sudah menjadi lumrah kepada saya ketika itu. Sebagai seorang manusia, saya selalu menangis dan lemah semangat kerana sindiran serta kritikan sebegitu kepada diri saya.

Saya pernah mengharapkan seseorang di dalam hidup saya yang mampu memberikan kata-kata semangat, dorongan, motivasi dan bimbing saya supaya cemerlang dan berjaya. Namun, sememangnya tidak akan pernah ada kerana sikap diri sendiri yang tidak mahu diubah.

Keputusan PMR saya ketika itu sangat hambar. Hanya memperoleh 2A sahaja dan selebihnya B dan C. Amat mengecewakan terutamanya kedua ibu bapa saya. Bertambah-tambah kritikan di sekeliling saya sehingga seolah olah tiada lagi harapan yang boleh diletakkan di dalam diri saya.

Jadi? Sejak bila saya berubah?

Saya mula berubah ketika berada di tingkatan 4. Ketika itu saya mendapat tawaran untuk masuk ke sekolah teknik dan duduk di asrama. Setelah mendapatkan tawaran itu, saya mula menanam hasrat untuk serius di dalam perubahan dan ingin menjadi orang yang cemerlang pada suatu masa nanti.

Saya mula buang sikap malas dan selalu ke bilik prep untuk mengulang kaji pelajaran. Keropok jajan kesukaan saya, saya tinggalkan sejauhnya dan telivision pula tidak mungkin dapat ditonton di asrama sekolah.

Usaha saya untuk berubah ternyata berhasil apabila peperiksaan matematik tambahan ketika berada di tingkatan 4, saya satu-satunya pelajar di dalam sekolah yang memperoleh A.

Ketika itu saya mula mendapatkan perhatian di dalam sekolah dan rakan-rakan saya mula melihat saya sebagai “budak pandai add-math”. Saat itu barulah saya dapat merasai perasaan menjadi pelajar yang “ada harapan”.

Namun begitu, saya tidak pernah berasa sombong dan memandang hina kepada rakan-rakan lain yang lemah. Bahkan, ketika di dalam asrama saya menjadi mentor kepada pelajar-pelajar yang lemah di dalam matematik kerana simpati kepada mereka. Saya juga pernah menjadi pelajar lemah dan  bahan kritikan orang, sudah semestinya saya turut simpati kepada mereka yang mengalami nasib yang sama seperti saya.

Rakan-rakan yang rapat dengan saya ketika itu adalah di dalam kalangan mereka yang lemah akademik. Kerana saya berasakan satu keperluan untuk menyuntik inspirasi kepada mereka agar turut sama-sama cemerlang seperti saya. Saya juga pernah menjadi mentor untuk mengajar subjek fizik di dalam kalangan rakan-rakan sebaya terutamanya mereka yang lemah di dalam subjek tersebut.

Setiap kali rakan-rakan saya mengadu berasa tidak pandai dan lemah, saya akan cuba sedaya upaya meyakinkan pada mereka bahawa “kita boleh!!”. Ketika berada ditingkatan 5, ada seorang rakan dari aliran vokasional ingin mencuba mengambil peperiksaan matematik tambahan di dalam SPM. 

Ketika itu, ramai rakan-rakan saya yang berada di aliran teknik menyindir dirinya, “boleh ke ko nak ambil ni? Macam tak caya je”, “add math susah tahu tak, kitorang pun fail, apa lagi ko”, “lupakan je la, buang masa ko je”..

Namun, saya  tidak seperti mereka. Ketika sahabat saya itu mengadu kepada saya tentang kritikan-kritikan orang kepada dirinya, saya berkata, “takpe, ambil je dan usaha sekurang-kurangnya untuk lulus, tak salah untuk ko mencuba, aku boleh ajar ko add-math, jangan risau, buat tak tahu je apa diorang nak kata kat ko”. Pengalaman saya yang pernah dikritik dan disindir menjadikan saya sensitif dan bersikap untuk memberikan kata-kata harapan dan semangat kepada orang lain.

Saat itu saya mula sedar, kejayaan yang Allah beri itu bukan hanya untuk diri saya. Bahkan perlu dikongsi bersama dengan orang lain. Akhirnya, setelah mendapatkan keputusan SPM saya berjaya membuktikan kepada kedua ibu bapa saya di mana saya masih ada harapan dan boleh cemerlang seperti rakan-rakan yang lain.

Tidak ramai yang menyangka saya mampu mendapatkan keputusan SPM yang cemerlang jika diikutkan sejarah saya yang tidak pernah cemerlang ketika itu.

Bersambung…..



Gambar sewaktu form 3 (Tembam sebab asyik bersantai di rumah)




Gambar form 5 (kurus sebab mula nak berubah!)


Hari raya selepas tamat SPM





Read More

Jurnal 5 : Masaalah dan tekanan?

2 comments
"Alhamdulillah, atas kesempatan dan waktu yang diberikan oleh Allah untuk menulis sedikit catatan agar dapat memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada sahabat handai serta pembaca umumnya. 

Mungkin tajuk di atas kelihatan "selective" terhadap medan pembaca, tetapi initipati sebenar di dalam nukilan artikel ini lebih bersifat umum dan terbuka. Penulisan ini juga adalah penulisan bersifat sedikit formal dan tidak formal. 

Walaubagaimanapun, penulisan ini lebih bersifat inspirasi dan motivasi seperti penulisan dari seorang penulis istimewa, Nick Vujicic. Mungkin penulisan ini tidak sehebat beliau, tetapi mudah-mudahan penulisan ini mampu memberikan sedikit sumber inspirasi kepada pembaca"

Jurnal 5:

31 Ogos 2014

"Argh!! down giler hari ni... -_-' ", "Result semester kali ni jatuh teruk, rasa stress ya amat!", "Aku kena tikam belakang oleh kawan sendiri, rasa tertekan pun ada", "Kenapa tidak ada siapa pun memahami perasaan aku!", "Dimalukan di depan orang ramai tadi, down giler!", "Hari ni kena marah, stress!!!"

Pernah rasa tertekan? "Down giler"?" Aloner"? Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas dari perkara tersebut. Jika ada mereka yang seumur hidupnya aman, bahagia dan sentosa, sesungguhnya dia sedang berada di syurga! Hakikatnya, sebagai manusia yang masih bernyawa di atas muka bumi, kita tetap tidak akan terlepas dari tekanan dan masaalah.

"Anda tertekan? Ingin tahu bagaimana menguruskan stress? Ikut serta bersama kami di kem pengurusan stress aman sentosa"

Pernah dengar tak ala-ala slogan di atas? Jika manusia hari ini tidak ada masalah, maka tidak akan wujud kem-kem seumpama di itu. Listen! Listen! Listen! Kucing pun ada masalah, ikan paus pun ada masalah, harimau pun ada masalah, awak pun ada masalah!

Saya bukanlah orang yang terlalu pandai dan terlalu bagus dalam menguruskan stress dan masalah. Cukuplah hari ini saya mengambil peluang untuk sekadar berkongsi bagaimana untuk mengawal diri dan menjaga emosi ketika menghadapi sebarang tekanan. 

Baik! Mari saya tunjukkan caranya.

1. Kembali kepada "Engineer" manusia

Dunia? Allah swt telah menciptakan dunia itu dengan pelbagai hiasan dan kecantikan yang mampu mempersonakan mata dan hati. Tetapi, dunia itu sifatnya bukan syurga yang hakiki. Bahkan disebalik kecantikan dunia, terletaknya duri-duri dan lautan berapi.

Kenapa Allah ciptakan dunia itu bersama-sama kesusahan dan kepayahan? Kalaulah ciptaan dunia itu tidak ada sebarang kesusahan dan kepayahan, jangan panggil dunia itu dunia, tetapi syurga! Bayangkan jika manusia itu terus leka dan tenggelam dengan kecantikan dunia, bagaimana seorang manusia itu ingin kembali mengingati sang pencipta?

Maka Allah swt menciptakan kesusahan dan kepayahan itu agar manusia kembali menyerah diri kepadaNya. Kerana manusia itu tahu, tidak ada sesuatu pun yang boleh selesaikan masalah dirinya melainkan Allah! Maka, setiap kali kita dihurungi masalah dan tekanan, kembalikan diri kepada Allah dengan beribadat kepadaNya.

Ibadat? Amalan wajib dan sunat?  Jika tidak ada ruh yang menusup masuk ke dalam hati maka masalah itu tetap tidak akan berkurangan. Bercakaplah selalu kepada Allah setiap kali selepas ibadat. Bagaimana? Doa! Jangan baca doa bahasa arab yang kita tidak faham lepas tu belah dari tikar solat. Maka masalah itu tetap tidak akan hilang.

Berdoalah kepada Allah dalam bahasa yang kita fahami dengan penuh penghayatan dan pengharapan kepada Allah. Selepas itu katakanlah bahawa kita sebenar-benarnya menyerahkan urusan kehidupan ini kepadaNya setelah puas berikhtiar dan berusaha. Ingatlah, Dia akan mencukupkan segala keperluan buat diri kita sekiranya diri kita menyerah sepenuhnya kepada Allah.

Yakin, Yakin dan tetap Yakin. Allah pasti akan membantu kita. Jangan sesekali berkata begini,

"Kenapa doa aku engkau tidak dengar ya Allah???", "Ini adalah tidak adil buat diri ku ya Allah!", "Kenapa kehidupan aku mesti begini ya Allah?"

Jangan! Tetapi berdoalah sebegini (Contoh sahaja) dengan sesungguh-sungguhnya

"Ya tuhanku yang Maha Mulia dan Maha Mendengar, aku yakin engkau dengar setiap dari doa-doaku, pengharapan dan keyakinan diriku terhadapmu tidak akan pernah putus sehingga terputusnya nyawaku, bahkan aku yakin, setiap apa yang engkau beri adalah yang terbaik buat diriku, maka aku redha dan syukur atas ketentuanmu"

Yakinlah kepada tuhanmu...

2. Hubungi ibu dan ayah

Doa seorang ibu kepada anaknya itu sangat makbul dan didengari oleh Allah. Hebat bukan? Adakah kita tidak melihat itu adalah salah satu dari jalan keluar? 

Jangan berasa sombong dan ego untuk menghubungi ibu dan ayah. Jangan pula ketika ada masalah sahaja baru kita nak berhubung. Tidak baik begitu. Hubungilah mereka secara berkala dan keraplah memohon doa dari mereka.

Ingat, jika kita gembirakan hati kedua ibu dan ayah, maka Allah akan berikan kelapangan demi kelapangan di dalam kehidupan. Jika kita ada masalah dan pertelingkahan dengan kedua ibu dan ayah, lupakan sahaja. Ya, lupakan!

Apalah sangat perselisihan itu dari beban kesusahan mereka membesarkan kita? Jika mereka kurang memberikan kasih sayang kepada kita, maafkan mereka! Jika mereka membuat kita sakit hati, maafkan mereka! Jika mereka membebankan hati kita, maafkan mereka! Ya, Maafkanlah mereka.

Doakanlah keseahteraan buat mereka dan lupakan segala kekurangan yang mereka telah beri. Gembirakan hati mereka setelah itu dan mohonlah doa dari mereka. Maka anda akan bahagia selepas itu. Percayalah! Kadangkala hati yang sempit dan penuh masalah datangnya dari kurangnya keberkatan ibu dan ayah. 

Sayangilah mereka tidak kira sejauh mana kesalahan diri mereka kepada anda. Kebahagiaan itu adalah milik anda sekiranya anda melakukan perkara tersebut.

3. Sahabat yang mendengar dan memberangsangkan

Sahabat yang mendengar dan memberangsakan? kenapa mesti memberangsangkan? Jika sahabat itu hanya mampu mendengar semata-mata, maka masalah itu tetap akan membelengu diri anda. Cari lah orang yang mendengar dan selepas itu menaikkan kembali semangat diri anda.

Jika anda hanya bercerita kemudian sahabat itu berkata, "Ooo.. ok, sabarlah, kemudahan itu ada di mana-mana, krik.... krik.... krik..." Maka lebih baik anda bercakap dengan dinding! hehe.. gurau...

Carilah sahabat yang berkata begini setelah anda menceritakan masalah,

"Ooo... Ok, sabarlah, kemudahan itu ada di mana-mana, beginilah, buka surah sekian-sekian, baca terjemahaan di situ.. Allah ciptakan masalah sebegini sebab Dia sangat sayang kepada kau, dan kau sebenarnya adalah orang yang bertuah dan terpilih! InsyaAllah, aku yakin kau pasti boleh selesaikan masalah tersebut, aku ada cadangan untuk selesaikan masalah tersebut, terpulanglah untuk ikut atau tidak... cadangannya begini....."

Kan? baru rasa semangat sket nak dengar feed back dari kawan tu. Kalau dengar lepas tu jawab dua tiga perkataan dan kemudian diam atau tukar topik lain.... Lebih baik bercakap dengan..........

Sahabat yang baik adalah sahabat yang suka memberi nasihat yang penuh hikmah melebihi pujian, bahkan sahabat yang lemah adalah sahabat yang berlebih memberi pujian dan tidak mampu memberi nasihat yang berhikmah, manakala sahabat yang buruk pula adalah sahabat yang kasar dalam memberi nasihat dan tidak mampu menghargai.


4. Anda perlukan diri sendiri

Saya suka bercerita bahagian ini. Maka ini adalah langkah yang terakhir yang mampu saya berikan setakat ini. Setiap kali ada masalah, letakkan telapak tangan kanan di atas dada dan berkatalah begini (Contoh semata-mata),

"Azlan, sabarlah, insyaAllah ada kemudahan dari Allah...."

Berkatalah sebegitu berulang kali dan urutlah dada anda dengan penuh lembut dan belaian kasih sayang. Kadangkala anda perlukan diri anda sendiri untuk menyelesaikan masalah dan tekanan tersebut. Keluarlah bersendirian di tempat-tempat yang menenangkan dan rehatkan diri.

Kehidupan dunia sememangnya memenatkan, banyak pula kesibukan manusia yang membelengu hati dan jiwa. Pergilah keluar merehatkan diri sendiri dan carilah ketengan di tempat-tempat yang jauh dari manusia. 

Jika anda tiada masa dengan diri sendiri, maka anda telah menyakiti diri anda sendiri! Diri anda sememangnya perlukan kasih sayang dari diri sendiri. Pergilah beruzlah (menyendiri) di masjid-masjid dan banyakkan masa mendekati Allah.

Kesimpulan

Pada hemat saya, anda tidak perlu belajar bagaimana menguruskan stress. Tetapi anda perlu belajar bagaimana menguruskan diri sendiri. Masalah dan tekanan itu sentiasa ada dan tidak akan pernah pergi. Larilah ke kutub utara sekalipun, anda tetap akan ada masalah. Hanya di syurga anda akan menikmati kehidupan yang bahagia tanpa masalah.

Setiap masalah dan tekanan ada jalan keluar, ambillah jalan yang positif untuk keluar dari masalah tersebut. Jauhkan diri dari perkara negatif dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah sentiasa ada buat dirimu. 

Allah, ibu bapa, sahabat dan diri sendiri

Empat kunci yang saya mampu kongsikan kepada anda semua bagaimana untuk menghilangkan tekanan serta masalah. Mungkin tidak seberapa, namun inilah yang selalu saya lakukan sekiranya dibelengu masalah dan tekanan. Alhamdulillah, setakat hari ini semuanya masih boleh diatasi.

Wallahualam...
Read More

Jurnal 4 : Master ---> PhD

1 comment
"Alhamdulillah, atas kesempatan dan waktu yang diberikan oleh Allah untuk menulis sedikit catatan agar dapat memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada sahabat handai serta pembaca umumnya. 

Mungkin tajuk di atas kelihatan "selective" terhadap medan pembaca, tetapi initipati sebenar di dalam nukilan artikel ini lebih bersifat umum dan terbuka. Penulisan ini juga adalah penulisan bersifat sedikit formal dan tidak formal. 

Walaubagaimanapun, penulisan ini lebih bersifat inspirasi dan motivasi seperti penulisan dari seorang penulis istimewa, Nick Vujicic. Mungkin penulisan ini tidak sehebat beliau, tetapi mudah-mudahan penulisan ini mampu memberikan sedikit sumber inspirasi kepada pembaca"

Jurnal 4 :

30 Ogos 2014


Saya sudah lama teringin untuk berkongsi sedikit rahsia bagaimana untuk menaiktaraf (convert) dari pengajian Master ke PhD.

"boleh ke? tak pernah orang buat tahu tak", "orang genius je biasanya boleh convert, ko boleh ke?", "erm... macam susah je? boleh ke?". "kitorang punyalah susah nak habiskan master, boleh ke terus nak masuk PhD?"

Begitulah kata-kata yang saya dengar sebelum menaiktaraf (convert) pengajian master saya ke peringkat PhD. Tetapi, A.A.K? (Ada Aku Kesah?). Hehe. Jika orang bertanya susah atau senang, bagi saya tidak ada benda yang mudah, namun tidak mustahil! Ya, tidak mustahil untuk orang yang bijak merancang dan mengatur!

Jika orang berkata saya genius, pandai, cepat "pick up", "gifted", saya katakan itu adalah mitos untuk diri saya. Di alam Naruto, ya anda boleh berkata begitu kepada saya. Namun, di alam nyata, saya adalah sama seperti anda semua. Jika saya boleh, anda mesti boleh!

Baik! Mari, saya kongsikan kepada anda semua satu persatu bagaimana untuk menaiktaraf pengajian master ke PhD.

1. Tanamkan niat dan hasrat yang benar

Jika solat pun ada niat, nak keluar rumah pun ada tujuan, masakan tidak untuk menamkan niat dan tujuan yang benar untuk menyambung pengajian! Anda perlu senaraikan jawapan untuk semua soalan di bawah:

1. Kenapa aku ingin sambung belajar?
2. Kenapa aku ingin menukar taraf pengajian?
3. Adakah aku memiliki niat untuk bekerja mendahului niat untuk sambung belajar?
4. Adakah aku dipaksa untuk sambung belajar?
5. Adakah aku bersedia untuk berkorban?
6. Adakah aku bersedia untuk menghadapi sebarang kesusahan dan kepayahan?
7. Adakah aku akan berputus asa?

Jawapan yang baik adalah jawapan yang positif! Ya, jawapan yang optimistik dan sentiasa berkata Tidak kepada perkara negatif dan Ya kepada perkara positif. Di bawah adalah contoh jawapan yang boleh saya kongsikan:

1. Aku ingin belajar sebab kehendak aku sendiri dan paling utama kerana Allah semata-mata

2. Supaya aku boleh habiskan pengajian PhD sebelum umur 30
3. Tidak sama sekali, dan aku tidak akan mudah terpengaruh dengan tawaran kerja. Keputusan aku adalah bulat untuk sambung belajar sahaja
4. Tidak. Semua atas kehendak aku sendiri
5. Bersedia bila-bila masa. Duit, jodoh dan masa itu semua perlu dilaburkan untuk pulangan yang besar di masa hadapan.
6. Bersedia bila-bila masa. Tidak akan patah balik ke belakang walau susah macam mana sekalipun
7. Tidak sama sekali. Putus asa tidak ada di dalam kamus hidup aku

Jawapan di atas hanyalah contoh. Sesungguhnya, anda lebih tahu di mana diri anda dan sejauh mana diri anda positif dalam menentukan hala tuju. Jika negatif jawapannya, maka lebih baik batalkan niat untuk sambung pengajian.

Jika niat dan tujuan anda adalah benar, mari kita teruskan langkah yang ke 2

2. Merancang dengan teliti


Setiap perkara perlu perancangan yang tersusun dan teliti. Bak kata pepatah, orang yang gagal merancang adalah orang yang merancang untuk gagal. Untuk menukartaraf pengajian master ke PhD adalah perkara yang besar. Maka, perancangan juga perlu besar!

Sebelum saya menyambung pengajian master saya sudah mula merancang satu persatu sehingga mencapai matalamat akhir. Saya kongsikan sedikit perancangan saya di bawah:

1. Jumpa pensyarah

- Cari pensyarah yang bagus dan membantu (boleh bertanya senior atau pelajarnya sendiri)
- Ambil tahu latar belakang bakal pensyarah dan bidang penyelidikannya
- Maklumkan kepada bakal supervisor untuk menaiktaraf pengajian master ke PhD
- Berbincang hala tuju penyelidikan yang bersesuaian ketika menaiktaraf nanti
- Meminta pandangan dan nasihat yang berguna

2. "Timeline" sepanjang tahun

- Bina rangka masa mengenai apa yang perlu dilaksanakan di saat awal pengajian sehingga ke  hari menukar taraf






3. Menghubungi senior yang pernah menukartaraf

- Minta pandangan dan tips untuk menukartaraf pengajian




4. Berhubung dengan akademik siswazah fakulti

- Minta maklumat mengenai proses menukartaraf
- Bertanya mengenai syarat-syarat khusus yang diperlukan untuk menukar taraf
- Ambil tahu apa yang diperlukan dan perlu dilaksanakan untuk memenuhi syarat menukar taraf

5. Mencari sumber kewangan 

- Memohon GRA (geran penyelidikan pensyarah) atau GRF (geran penyelidikan ipt) dan MyBrain 15 (Berkuatkuasa sehingga 2015)

6. Memohon pengajian

- Buka laman portal siswazah ipt dan cari maklumat bagaimana untuk menyambung pengajian di peringkat master
- Daftar sekarang!

Selesai langkah yang ke 2. Mudah kan? :D anda perlu sabar dalam merancang. Jangan tergopoh-gopoh dan huru hara. Relax dan bertenang. Segalanya boleh diselesaikan jika anda bertenang. Jika selesai langkah ke 2, mari ke langkah seterusnya.


3. Bagaimana memenuhi syarat-syarat menukartaraf


Setiap pengajian tinggi memiliki syarat yang berbeza-beza. Namun, syarat yang berbeza-beza itu anda boleh mengharungi dengan mudah jika anda bijak merancang dan sabar!


Saya kongsikan sedikit syarat yang diperlukan untuk memenuhi syarat menukartaraf di Universiti Putra Malaysia (UPM):


a. Menghantar "Proposal" menaiktaraf yang lengkap

- Introduction, methodology, result and discussion, conclusion and PhD proposal
b. Menerbitkan sekurang-kurangnya satu kertas penyelidikan di journal antarabangsa dan di bawah ISI Cited Journal.
c. Menghabiskan ke semua subjek yang berdaftar dengan gred 3.75 ke atas setiap subjek
d. Mendapat keputusan kumulatif 3.75 ke atas di peringkat master
e. Telah menyiapkan penyelidikan di peringkat master
f. Menghadiri dan lulus ujian lisan bersama-sama 1 orang pengerusi dan 3 orang panel yang bertaraf sekurang-kurangnya Prof. Madya
g. Lulus ujian bertulis yang dirangka oleh panel pemeriksa

Susah? Ya susah, tetapi tidak mustahil! anda bijak merancang, anda boleh garap!


Susun ke semua syarat-syarat yang mesti dipenuhi di dalam "Timeline" yang anda telah sediakan sebelum menyambung pengajian. Rancanglah dengan bijak dan susun satu persatu dengan teliti mengenai apa yang perlu dicapai terlebih dahulu.


Jika anda diwajibkan untuk menulis artikel, tulislah sebanyak yang anda mampu. Minta "skill" dan pandangan dari orang yang berpengalaman menulis artikel tentang bagaimana untuk mudah menerbitkan artikel di International Cited Journal.


Ketika di dalam tempoh perancangan, saya telah menulis sekurang-kurangnya 5 artikel dan menghantar ke tempat-tempat journal yang berbeza. Di dalam 5, hanya satu telah diterbitkan dengan jayanya. Maka syarat untuk menerbitkan artikel telah lulus!



4. Jadi orang yang berdisiplin


Isu disiplin adalah isu yang paling penting untuk menyambung pengajian. Jika anda masih leka bermain game, menonton wayang, berjalan-jalan, berseronok maka tinggalkan dan kurang-kurangkan lah. Anda akan gagal jika anda tidak berdisiplin. Saya kongsikan sedikit rutin harian saya ketika menyambung pengajian:


Isnin - Jumaat 


8.00 Pagi - 6.00 Petang

- Duduk di dalam makmal/library untuk tujuan penyelidikan
6.00 petang - 8 malam
- Pergi beriadah/berehat
8.00 malam - 11.00 malam
- Membaca artikel atau menyiapkan tugasan yang belum selesai

Sabtu - Ahad

- Duduk di library/ berehat menenangkan fikiran

Ini adalah rutin harian yang selalu saya lakukan ketika menyambung pengajian. Namun, bergantung kepada anda. Perkara yang paling penting, bagaimana disiplin anda untuk melaksanakan tugas-tugas penyelidikan dengan efektif! Jadikan masa itu sebagai suatu perkara yang sangat berharga. Jangan malas!!


Selesai langkah ke 4? kita teruskan ke langkah seterusnya...


5. Sabar dan istiqomah


Ini adalah langkah terakhir. Setelah anda menanamkan niat, membuat perancangan, menyusun perkara-perkara yang perlu dicapai dan berdisiplin, maka anda perlu bersabar dan istiqomah. Janganlah pandai merancang, tetapi tidak pandai melaksankan. Janganlah juga pandai melaksanakan tetapi tidak pandai sabar. Janganlah pula pandai bersabar tetapi tidak pandai istiqomah. 


Merancang, Laksana, Sabar, Istiqomah


Ini adalah elemen yang penting dan sangat diperlukan. Saya tidak nafikan di saat menyambung pengajian, anda akan rasa "down", "depressed" dan sebagainya. Carilah sahabat-sahabat yang boleh menaikkan semangat anda atau pergilah pulang ke kampung halaman bertemu dengan ibu dan ayah. Jika tidak pun, keluarkan berehat menenangkan fikiran anda. 


Jagalah emosi dengan baik dan hayatilah nikmat belajar dengan tenang. Namun, bagaimana untuk anda memiliki ke empat-empat elemen di atas? Berdoalah kepada Allah dan sentiasa memperbaharui hati dengan mendekatkan diri kepada Allah. Maka anda akan memiliki keempat-empat elemen di atas! Jika itu berlaku, impian anda akan tercapai! Yeah!


Hasilnya...




Kesimpulan


Biarlah apa pun orang nak kata. Mustahil ke, susah ke, hanya untuk si genius ke. Lupakan kata-kata negatif seperti itu. Jika anda percaya kepada kata-kata tersebut maka anda telah bersikap tidak adil kepada diri sendiri! katakan yang positif di dalam diri anda dan yakinlah, anda pasti BOLEH!!! akhir kata, ini adalah sebahagian pengalaman yang boleh saya kongsikan kepada anda semua. Mudah-mudahan bermanfaat dan selamat maju jaya dalam apa sahaja tujuan hidup yang anda ingin capai. :) :) :)


Ok bye...
Read More
Previous Post Older Posts Home
Powered by Blogger.